UMNO ibarat ais kecil tengah panas, kata Annuar Musa

UMNO kini semakin hilang kepercayaan dan sokongan rakyat serta diibaratkan seperti ais yang mudah rapuh dan semakin mengecil akibat terdedah kepada cuaca panas.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya banyak perubahan dilakukan tidak disenangi rakyat.

“Sebab itulah UMNO ini macam ais duduk (jemur) di tengah panas yang akhirnya makin kecil dan terus mengecil,” katanya ketika berucap pada Ceramah Selangor Baharu dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sabak Bernam di Markas Pas Batu 1, Tebuk Pulai, Sabak Bernam, malam tadi.

Katanya, jumlah undi popular UMNO dalam dua pilihan raya umum sebelum ini jauh lebih sedikit berbanding bilangan ahli parti itu di seluruh negara.

“Jika kita sorot PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13), undi UMNO 5.4 juta jauh lebih tinggi berbanding 3.2 juta ahli yang ada pada waktu itu,” katanya.

Namun kata Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional l, situasi itu tidak bertahan lama apabila undi popular UMNO semakin merosot.

Realitinya kata beliau, bilangan ahli UMNO lima juta, tetapi undi popular parti itu merosot satu juta pada PRU14.

“Jumlah undi popular UMNO semakin merosot pada PRU15 apabila dianggarkan dua daripada tujuh juta ahli mereka meninggalkan parti itu.

“Saya ini agak lewat sikit meninggalkan UMNO berbanding rakan UMNO lain yang sudah menyertai PN (Perikatan Nasional),” ujar beliau.

Jelas beliau, rakyat mula meninggalkan UMNO kerana mereka sedar dasar parti itu tidak selari berbanding semasa zaman kegemilangannya dahulu.

“Rakyat sedar yang mereka hendak ikut bulan soal parti kerana ia ciptaan manusia, tetapi mereka sokong (sesebuah parti politik) atas dasar yang dibawa parti berkenaan” jelas beliau, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *