Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

HANYA kerana kad akses tidak dapat digunakan, pemandu BMW bertindak memaki hamun pengawal keselamatan di sebuah kawasan kediaman di Taman Sri Sentosa di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihaknya oleh seorang individu berusia 46 tahun.

“Siasatan berdasarkan laporan tersebut mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai penghuni kediaman tersebut yang memandu sebuah kereta jenis BMW.

“Suspek dikatakan telah membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan ketika kejadian.

“Selain itu, suspek turut dilihat memarahi dan memaki pengawal keselamatan bertugas dengan perkataan yang kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan.

Kejadian tersebut sekali gus mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara suspek dan pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

“Perkara tersebut kemudiannya diselesaikan secara baik antara suspek dan pengawal keselamatan terlibat dan laporan polis yang dibuat sebelum ini turut ditarik balik,” katanya, lapor Kosmo!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *