Pelabur asing 10 minggu berturut-turut jual saham tempatan

JUALAN bersih oleh pelabur asing diteruskan untuk minggu ke-10 berturut-turut apabila mereka sekali lagi muncul sebagai penjual bersih bernilai RM240 juta pada minggu lalu.

Menurut MIDF Research, sepanjang 10 minggu lalu, aliran keluar asing bersih secara keseluruhan berjumlah RM2.06 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing sebagai penjual bersih pada setiap hari minggu lalu, sekali gus muncul sebagai penjual bersih untuk sembilan hari dagangan berturut-turut.

Ia berkata, pelabur asing muncul sebagai penjual bersih sebanyak RM19.9 bilion pada Isnin, RM91 juta pada Selasa, RM17.7 juta pada Rabu, RM15.2 juta pada Khamis dan RM96.2 juta pada Jumaat, menjejaki sentimen lemah di Wall Street.


Menurutnya, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lalu adalah hartanah (RM14.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM14.1 juta) dan teknologi (RM11.5 juta).

Sektor yang merekodkan aliran keluar terbesar pula, katanya adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.2 juta), tenaga (RM47.2 juta) dan perindustrian (RM34.5 juta).

“Setakat ini, warga asing telah menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.83 bilion,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Jun.

Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan nilai RM250.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lalu.

Menurutnya, pelabur tempatan menjadi pembeli bersih pada setiap hari berjumlah RM31.8 juta pada Isnin, Selasa (RM67.1 juta), Rabu (RM34.4 juta), Khamis (RM23.1 juta) dan RM94 juta pada Jumaat.

“Berbanding pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.45 bilion,” katanya.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit tempatan pula berdepan minggu dagangan yang bercampur-campur yang berakhir dengan jualan bersih RM10.3 juta.

“Mereka muncul sebagai pembeli bersih bernilai RM23.9 juta pada Selasa dan RM2.3 juta pada Jumaat, manakala sebagai penjual bersih bernilai RM11.9 juta pada Isnin, RM16.7 juta pada Rabu dan RM7.9 juta pada Khamis,” katanya lapor BH.

Setakat ini, menurutnya pelabur runcit berperanan sebagai pembeli bersih untuk tempoh 13 daripada 25 minggu berjumlah RM381.6 juta.

Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (-10.3 peratus), institusi tempatan (-19.6 peratus) dan pelabur asing (-31 peratus).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *