Lapan nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara pada kedudukan 60 batu nautika dari muara Pulau Redang, kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd. Majid berkata, menerusi
operasi Op Kuda Laut dan Op Naga Barat itu pihaknya menahan lapan kru termasuk seorang tekong dengan hasil rampasan bernilai hampir RM1.5 juta.

“Bot bersama semua kru berusia antara 23 hingga 55 tahun itu dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

“Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Terengganu hari ini.

Pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Kita akan meningkatkan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

“Sebarang maklumat berkaitan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *