MEMPERKENALKAN semula kad diskaun untuk pelajar kolej dan universiti miskin bukan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kemiskinan pelajar, kata seorang pakar ekonomi.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pengenalan kad diskaun tidak akan menyelesaikan isu struktur yang menyebabkan kemiskinan pelajar.
Isu struktur ini termasuk perbelanjaan seperti yuran pengajian, penginapan dan makanan, pelajar tidak dapat bekerja ketika belajar, peluang pekerjaan terhad dan bergaji rendah serta latihan industri wajib yang selalunya tidak dibayar.
Katanya, tanpa menangani isu struktur terlebih dahulu, kad diskaun hanya akan memanfaatkan vendor dan pembekal, termasuk pembekal kad serta syarikat kewangan.
Pada 17 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula kad diskaun kepada pelajar institusi pengajian tinggi bagi mengurangkan beban mereka.
Williams berkata, kerajaan sebaliknya perlu menangani kos pendidikan tinggi secara langsung, dengan membantu mengurangkan yuran atau menjadikannya percuma, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, beliau percaya pendidikan tinggi sepatutnya percuma untuk semua rakyat Malaysia, kecuali golongan kaya, tetapi kerajaan belum dapat melaksanakannya akibat kekangan kewangan.
“Ada skim berdaya maju untuk mengurangkan kos pengajian tinggi dan kerajaan sedang memulakan proses ini, contohnya pengaturan pengajian fleksibel bagi universiti awam.
“Ini patut diperluaskan ke universiti swasta juga, dengan mengubah peraturan bagi membolehkan mereka memberi pilihan pengajian lebih murah.”
Syed Zuliqbal Syed Abd Halim, pengarah operasi NGO kebajikan pelajar, Persatuan Kasih Mahasiswa menyambut baik inisiatif itu dengan berkata, tumpuan perlu diberikan kepada kekangan kewangan dihadapi pelajar.
“Tetapi, satu kebimbangan saya ialah pembaziran. Kami sudah ada Kad Prihatin Siswa (KPS), berapa banyak kad yang kami perlukan? Lebih baik kerajaan semasa memfokuskan apa yang kami ada dan memperluaskannya,” katanya kepada FMT.
KPS ialah inisiatif Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menyediakan aplikasi e-dompet dan turut memberi tawaran istimewa kepada pemegang kad.
Leave a Reply