PERIKATAN Nasional (PN) hanya memerlukan undi kira-kira 20 peratus pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memenangi PRN Negeri Sembilan.
Ketika melontarkan pendangan itu, Timbalan Ketua Pemuda PN negeri, Mahfuz Roslan, berkata pihaknya yakin dan percaya 20 peratus pengundi Melayu dan penyokong BN itu akan beralih kepada PN ketika PRN nanti.
Katanya, ia berdasarkan faktor penolakan ahli akar umbi UMNO terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Sebelum ini iaitu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum ada gabungan antara BN dan PH tetapi selepas pilihan raya umum November lalu, mereka bergabung. Gabungan itu mengundang rasa tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan ramai orang Melayu termasuk penyokong BN dan UMNO.
“Mereka (ahli UMNO) ini sayang kepada parti itu tetapi kecewa dengan penggabungan terbabit (PH-BN) dan kekecewaan itu mereka luahkan ketika jentera pilihan raya kami turun padang mendampingi mereka. Jadi, kami yakin pengundi-pengundi ini akan melakukan penolakan dan memilih PN pada PRN nanti kerana kekuatan untuk capai kemenangan masih di tangan orang Melayu,” katanya lapor Berita Harian.
Mahfuz yang juga Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, berkata data mendapati terdapat 50 peratus pengundi orang muda sudah memilih PN pada PRU15 lalu.
Beliau berkata, dengan penolakan sebahagian penyokong UMNO itu nanti dan ditambah pula dengan peningkatan pengundi muda, pihaknya yakin PN boleh memenangi PRN serta membentuk kerajaan negeri.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN, namun sudah memadai jika mereka memberi sokongan terhadap gabungan itu ketika PRN kelak.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, ahli serta pemimpin PN diingatkan supaya tidak memaksa ahli UMNO menyertai gabungan itu, namun sudah cukup jika mereka memberi sokongan dengan memberi undi kepada PN nanti.
Sementara itu, Mahfuz berkata, selain isu gabungan PH-BN yang akan mempengaruhi pengundi Melayu, pelbagai isu lain termasuk soal kos sara hidup, penurunan harga ringgit dan prestasi ekonomi, dijangka memberi impak kepada pengundi.
“Selain itu di peringkat pusat, terdapat juga isu-isu di peringkat negeri seperti soal hak milik tanah, bekalan air bersih yang tidak selesai dan lain-lain termasuk kepentingan anak muda yang dijangka turut beri kesan. Semua isu ini akan memainkan peranan penting dan mempengaruhi pengundi kerana pengundi bijak membuat pilihan. Matlamat kita (memenangi PRN) untuk mengurus dan memajukan negeri selain menyelamatkan anak bangsa kita sendiri,” katanya.
Mengenai calon PRN, Mahfuz berkata, PN sudah menyediakan calon-calon yang berwibawa dan berkeupayaan untuk memimpin dan menguruskan pentadbiran negeri.
Menurutnya, ia menggabungkan tokoh agamawan, golongan profesional dan pemimpin masyarakat yang disulam dengan semua kepakaran, termasuk pemimpin muda.
“Keputusan muktamad mengenai calon ini akan dibuat di peringkat kepemimpinan tertinggi parti dan saya percaya ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), nanti,” katanya.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti memerlukan kemenangan 19 kerusi sebagai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, memaklumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 28 Jun ini, bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN pada 30 Jun ini.
Leave a Reply