Ahli Parlimen Bachok syorkan Anwar  kurangkan aktiviti, fokus tugas hakiki

Oleh MOHD SYAHIR CHE SULAIMAN

KITA sedia maklum jadual Perdana Menteri amatlah padat, dari satu program ke satu program, dari satu negeri ke satu negeri. Ada masa Perdana Menteri kelihatan menaiki pesawat, ada masa menaiki kereta, dan ada masa terpaksa berkejar berlari.

Namun jika dilihat secara optik, penampilan Perdana Menteri sedikit lesu (fatigue), kepetahannya juga tidak seperti dahulu, malah perhatiannya mudah terganggu (distracted), petanda kondisisi Perdana Menteri sedikit terganggu.

Dalam keadaan Ringgit dan ekonomi yang tidak menentu, semua pihak tertunggu-tunggu, apakah langkah intervensi yang bakal diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada Isnin 19 Jun, sebagaimana yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri Kewangan pada Ahad, 18 Jun. Namun yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba, dan hari tersebut berlalu tanpa sebarang langkah drastik bagi memulihkan Ringgit dan ekonomi, sehinggalah ke hari ini.

Turut menarik perhatian, insiden Perdana Menteri teralih perhatian (distracted) sehingga ‘ter-menari’ sebelum memulakan sesi dialog bersama siswa siswi. Terbaru sekali lagi Perdana Menteri teralih perhatian sehingga ‘berseloroh’ meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan tingkatan 6 yang bertanyakan soalan ekonomi.

Dalam hal ini, segala bentuk keletihan, kelesuan (fatigue) dan gangguan (distraction) terhadap Perdana Menteri perlu dikurangkan, supaya fokus dan perhatian dapat diberikan kepada tugasan hakiki. Justeru ada baiknya dalam tempoh beberapa hari menjelang Aidiladha ini, bolehlah dikurangkan sedikit aktiviti luar Perdana Menteri, lebihkan masa di meja Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, bagi menekuni 1001 dokumen yang pastinya sudah menanti.

Malah sempena hari Wuquf pada 9 Zulhijjah ini, amatlah baik jika Perdana Menteri dapat tangguhkan sementara segala aktiviti, ambil peluang untuk berpuasa sehari, bertafakkur dan berzikir mohon keampunan dan petunjuk dari Ilahi.

Semoga Allah pelihara Malaysia yang dicintai.

*Mohd Syahir Che Sulaiman adalah Ahli Parlimen Bachok. Artikel disiarkan dalam harakahdaily.net


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *