219 saman dikeluarkan hanya dalam tempoh 3 jam Ops Motosikal

HANYA dalam tempoh tiga jam operasi, sebanyak 219 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang terhadap 708 pemilik motosikal yang diperiksa.

Malah, dalam operasi khas Ops Motosikal di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang yang bermula pukul 4 petang semalam itu, dua buah motosikal turut disita.

Menurut jurucakap JPJ Pulua Pinang, antara kesalahan yang dikesan dilakukan penunggang motosikal dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Kesalahan lain yang turut dikesan ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tiada cermin sisi serta melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, katanya, operasi motosikal itu diadakan bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang selain memastikan motosikal tidak diubahsuai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

Jelas beliau, tindakan tegas akan dikenakan termasuk motosikal disita jika didapati ubah suai untuk tujuan tersebut masih dilakukan.

“Sehubungan itu, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang selain menunggang dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya,” katanya.

-habis-


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *