OLeh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pagi ini menghadap Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi memohon perkenan baginda berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Muhammad Sanusi tiba ke Wisma Darul Aman kira-kira pukul 10.22 pagi manakala kenderaan rasmi membawa Sultan Sallehuddin dilihat memasuki pekarangan wisma tersebut kira-kira empat minit kemudian.
Difahamkan Menteri Besar itu menghadap Sultan Sallehuddin di pejabat baginda dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali bersama Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dijadualkan akan mengadakan sidang media kira-kira pukul 12 tengah hari nanti.
Sebelum ini Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau akan mencadangkan 28 Jun depan sebagai tarikh pembubaran DUN kepada Sultan Sallehuddin.
Penggal DUN Kedah kali ini sepatutnya berakhir pada 4 Julai depan.
Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.
Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas selepas dilaporkan menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari PAS Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.
Leave a Reply