PAS terus meninggalkan teka-teki sama ada Nik Mohammad Abdul Nik Abdul Aziz akan dinamakan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini atau tidak.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan diketahui pada hari penamaan calon nanti.
“Tunggu hari penamaan calon, tengok nama dia (Nik Abduh) naik ke tidak. Insya-Allah (ada kejutan),” katanya pada sidang media selepas ceramah sempena pelancaran jentera PRN Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta barisan kepimpinan Pas Kelantan.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan dicalonkan atau sebaliknya.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, Nik Abduh digugurkan daripada menjadi calon selepas dua penggal menjadi wakil rakyat Pas bagi Parlimen Pasir Mas dan Bachok.
Sementara itu ditanya sama ada terdapat bekas pimpinan parti UMNO akan dinamakan menjadi calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mengiyakannya.
“Ada, Insya-Allah. Tak perlu kita sebut kerana kita takut kena ‘hijack’ tengah jalan dan macam-macam.
“Zaman ini zaman lanun banyak,” kata Abdul Hadi, lapor Malaysiakini.
Leave a Reply