MISTERI bau busuk dari sebuah rumah dalam proses ubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, Tumpat, rupanya bau mayat seorang lelaki.
Mangsa tanpa identiti yang berusia dalam lingkungan 40-an ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi dalam keadaan kedua kaki dan tangan terikat serta ada kesan darah di lantai selain sudah dihurung lalat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia tidak lebih daripada tiga hari.
“Mayat ditemukan pekerja yang membuat kerja ubah suai rumah itu berikutan bau busuk sebelum memaklumkan kepada pemilik seterusnya pihak polis dihubungi.
“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, Ho Wei Jiat, 34, berkata, dia ke rumahnya kira-kira pukul 3 petang tadi berikutan pekerja mengadu mengenai bau busuk yang datang dari tingkat atas.
“Sebenarnya bau itu dihidu sejak semalam lagi dan kami menyangkakan ia bangkai binatang tapi sebaik diberitahu sekali lagi oleh pekerja, saya memberanikan diri naik ke tingkat atas menuju ke stor.
“Saya membuka pintu dan ternampak kotoran berwarna coklat di lantai sebelum kelihatan sepasang kaki manusia dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena, saya segera menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di Tumpat.
Wei Jiat berkata, baik pulih rumahnya sudah dimulakan sejak setahun lalu dan dia juga ingin membersihkan bahagian stor kerana mahu menempatkan beberapa lagi pekerja untuk kerja ubah suai kediamannya itu.
Katanya, walaupun terkejut dengan penemuan mayat itu, dia tetap akan meneruskan kerja ubah suai rumah namun belum memutuskan sama ada untuk menetap di situ atau tidak.
“Memang terkejut dengan kejadian ini tapi proses ubahsuai rumah tetap akan diteruskan cuma kami masih berkira-kira untuk menetap atau tidak kerana bimbang ibu bapa akan takut,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply