KEDAH akan menjadi sasaran terbesar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk ditumbangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi hanya kerana keberanian para pemimpinnya bercakap benar tentang hakikat yang berlaku selama ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, negeri itu akan diberi tumpuan penuh oleh pihak lawan untuk dirampas kerana mereka mula menyedari betapa agung dan hebatnya Kedah yang boleh melonjak maju pada masa depan.
Katanya, keberanian rakyat negeri itu untuk bangkit dan pakar-pakar sejarah yang mula bercakap soal Kedah tidak akan dipandang begitu sahaja dan dibiarkan dengan mudah oleh pihak lawan.
“Semakin banyak cabaran, tohmahan akan dilempar kepada kita. Untuk bangkitkan kembali Kedah dan kehebatan rakyatnya, jangan serah (Kedah) kepada orang yang hanya mencari makan di negeri ini tetapi bercakap bagi pihak negeri lain.
“Jangan biarkan anak cucu kita terpengaruh dengan agenda dibawa para pemimpin yang ambil naratif sejarah penjajah sebagai bahan untuk diceritakan sejarah negeri ini kepada orang ramai.
Sangat penting untuk kita pastikan apa yang telah berlaku masa lalu disampaikan dengan benar, berani dan tanpa segan silu kepada siapa pun.
“Tidak ada sesiapa yang ada hak untuk tutup mulut kita daripada bercakap benar tentang diri kita. Kita dipanggil celupar, bodoh, angkuh dan pelbagai nama tapi kita tak peduli semua itu kerana selagi benar kita akan terus berjalan di atas landasan ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, selama ratusan tahun sejak 1786, sejarah negeri yang berkat itu telah ditenggelamkan untuk kepentingan penjajah dan konco-konconya.
Beliau berkata, apa yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah membuka lembaran sebenar yang lama disembunyikan untuk dijadikan rujukan, panduan dan pedoman kepada generasi seterusnya yang akan memimpin Kedah agar sekali lagi menjadi negeri yang membawa cahaya Islam ke seluruh rantau ini.
Katanya, bagi mencapai cita-cita itu, ketahanan, kesungguhan, iltizam, kepandaian dan keberanian serta kepetahan harus disebar luas bagi mendapat sebanyak mungkin sokongan, pihak yang bersimpati dan mahu bersama-sama menjadikan Kedah sekali lagi negeri yang hebat.
“Naratif sejarah penjajah di negeri ini kita akan tamatkan selama-lamanya. Kami tak mahu lagi dengar naratif penjajah, yang kami nak tahu hakikat sebenar apa yang telah terjadi kepada nenek moyang, rompakan, pembunuhan besar-besaran yang kamu lakukan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, menjelang kedatangan PRN juga, ramai pemimpin parti lawan akan berkunjung ke Kedah bagi mengajak rakyat atau pengundinya memenangkan mereka agar selari dengan Kerajaan Persekutuan untuk diberikan peruntukan, keistimewaan dan sebagainya.
“Keadilan harus diberi tanpa kira latar belakang dia pemimpin kamu atau bukan penyokong kamu. Bagaimana Saidina Umar berlaku adil kepada orang Yahudi, demikianlah kita selama jadi rakyat negeri ini dan sebahagian negara ini kerana kita tak perlu parti sama untuk mereka berlaku adil kepada kita dan kita berlaku adil kepada mereka.
“Inilah hakikat ilmu siasah yang tak berani diungkapkan, mereka hanya berani ungkapkan akan berlaku keadilan, akan diberi peruntukan, keistimewan dan apa diperlukan hanya apabila (kerajaan) sama dengan mereka, itu kempen songsang,” katanya.
Justeru Muhammad Sanusi mengingatkan jentera parti untuk bersungguh-sungguh bekerja bagi memastikan ‘kubu’ di negeri Kedah tidak tembus dari sisi yang dijaga, sebaliknya perlu sentiasa kukuh dan utuh walaupun di mana sahaja.
Leave a Reply