PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri dijangka diadakan sekitar Ogos depan.
Bercakap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama masyarakat India di Nilai, Negeri Sembilan semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, PRN akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan berkenaan.
“Saya minta kerjasama kawan-kawan semua, bagi sokongan kerana negeri ini akan ada pilihan raya (pada) Ogos. Mesti ada pilihan raya selewat-lewatnya Ogos, mesti pilihan raya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Setakat ini, DUN Selangor dan Kelantan sudah dibubarkan masing-masing pada Jumaat dan Khamis lalu, sementara DUN Pulau Pinang dan DUN Kedah dijangka dibubarkan pada Rabu depan.
Bagi Terengganu pula, Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran DUN minggu depan.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan, DUN di negeri itu akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRN di enam negeri terbabit dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.
Sementara itu, Anwar menyeru pengundi khususnya di Negeri Sembilan untuk terus memberi mandat kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir dan menerajui negeri itu.
“Kita kena jaga negeri ini supaya boleh jaga semua kaum. (Setiausaha Agung DAP), Anthony Loke kata ada orang tunggu (mahu ambil alih kerajaan negeri), dia boleh tunggu.
“Tapi kalau mahu selamat ini negeri, mahu jaga ini negeri, mahu semua kaum kita jaga, kamu (rakyat) mesti jaga PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Leave a Reply