Oleh BADLISHAH MAT
STADIUM Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.
Majlis yang bermula sejak pukul 7.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan doa munajat sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib Perdana serta solat Isyak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara pimpinan utama yang hadir ke program itu bersama barisan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat negeri Kedah.
Turut hadir, tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau dikenali Pondok Bukit Lada; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.
Sebanyak empat pusingan selawat dan qasidah dialunkan sepanjang himpunan tersebut sebelum Tausiah disampaikan oleh Syeikh Muhd. Zainal Asri Mohd. Romli dan diikuti ucapan Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan merupakan himpunan terbesar yang diadakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
“Himpunan yang besar pernah diadakan di Stadium Darul Aman adalah Himpunan Hijau pada tahun 2012.
“Alhamdulilah Allah beri izin dan Allah paut hati-hati kita untuk berhimpun bersama dengan para alim ulama, asatizah dan para pemimpin yang dalam tempoh bebrapa tahun ini sedaya upaya membawa kebaikan seperti mana dituntut Allah,” katanya pada program itu malam tadi.
Leave a Reply