PENULIS tersenyum apabila membaca reaksi pemimpin-pemimpin UMNO berikutan kenyataan Tony Pua yang melabel BN-UMNO ‘pakatan korup’.
Ada kata sudah hantar mesej protes kepada kepemimpinan DAP, ada yang desak DAP ambil tindakan ke atas Tony dan ada yang kata UMNO sedia jadi pembangkang.
Nampak bersemangat kalau membaca kenyataan mereka tetapi soalnya adakah ia akan menjadi ‘kudis’ atau ‘mengganggu’ DAP? Adakah DAP akan ambil tindakan pecat Tony kerana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara itu tak wakili DAP?
Hakikatnya, pemimpin UMNO tidak perlulah emosi sangat atau buat-buat emosi dengan tindak tanduk Tony atau mana-mana pemimpin DAP.
Sebaliknya, oleh kerana pemimpin UMNO mahu memperjuangkan politik majmuk, maka mereka sendiri perlu belajar menyesuaikan diri dengan ‘tatakelola’ dan ‘wewenang’ politik DAP yang baru tujuh bulan menjadi ‘sahabat baik’ UMNO.
Mungkin ada seorang dua dalam DAP berperangai seperti Tony, kalau tidak masakan UMNO boleh bersedia menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan DAP atas alasan ‘titah Agong’? Terima sahaja kenyataan Anthony bahawa apa yang Tony kata tidak wakili DAP sebab itulah sebelum ini pemimpin UMNO menggesa ahli UMNO undi calon DAP.
Pemimpin dan ahli UMNO perlu bersikap terbuka menerima kritikan atau cemuhan pemimpin DAP memandangkan bukankah mereka anggap DAP jauh lebih baik daripada Pas?
Kalau tidak masakan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU-15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.
Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa Pas tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.
Jadi betullah apa yang Tony lakukan, beliau tidak bermuka-muka dan tidak berpura-pura. Tony hanya menzahirkan itulah sikap dan pendirian atau tanggapan sesetengah pemimpin DAP terhadap UMNO-BN.
Oleh itu tidak perlulah DAP meminta maaf kepada UMNO kerana kenyataan Tony, lagipun Anthony Loke pun tak sebut soal itu sebaliknya hanya kata, apa yang bekas Ahli Parlimen Damansara tersebut cakap tak wakili DAP.
Tidak perlu pemimpin UMNO mahu DAP minta maaf kerana nanti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan tegaskan ‘’sudah ada persetujuan bersama dicapai di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ketika rundingan kerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang turut membabitkan DAP diadakan.
“Mereka (DAP) sudah nyatakan perkara ini (tidak membuat kenyataan mengguris perasaan UMNO) beberapa kali, malah dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan ini pun bukan perkara itu yang menjadi syarat utama kepada kita,’’ kata Ahmad Zahid.
Justeru daripada pemimpin UMNO buat-buat pening kerana kenyataan Tony itu, lebih baik mereka bermuhasabah bagaimana mahu memastikan ‘perjuangan’ UMNO selari dengan kehendak parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Setakat buat kenyataan, kecam, bidas, marah atau kecewa dengan tindakan pemimpin DAP seperti Tony ia hanya membuang masa. Lagipun sejak dulu lagi, pendirian, perjuangan dań matlamat DAP tidak berubah, sebaiknya UMNO yang berubah, diubah dań akhirnya rebah. Jadi pemimpin UMNO…tenang-tenang sahaja.
Leave a Reply