Tony Pua ‘pelampau politik’ – Mahdzir

 Oleh RIZQI ZABIDI 

TINDAKAN bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ adalah sikap seorang pelampau politik.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, golongan tersebut sentiasa merasakan seolah-olah merekalah individu yang paling betul sedangkan tindakan orang lain salah. 

Katanya, golongan itu tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak sama ada partinya sendiri atau rakan kongsi. 

“Dalam mana-mana parti politik pun, ada kumpulan dipanggil pelampau atau ekstrem. Jenis pelampau ini, mereka akan anggap semua orang lain tak betul dan hanya dia sajalah yang baik.  Golongan ini perangai mereka tak boleh diubah dan mereka takkan beri kebaikan sama ada kepada partinya sendiri mahu pun rakan kongsi. Mereka akan sentiasa kondem dan saya fikir otaknya mungkin ada masalah,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku di Alor Setar, hari ini. 

Dalam Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam, Tony melabel BN sebagai pakatan korup selain menyuarakan harapan supaya PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, beliau merasakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga menolak golongan sedemikian. 

“DAP pun tak boleh nak kawal disebabkan kumpulan ekstremis dalam parti ini susah nak berkawan dengan orang. Golongan sebegini mungkin ada dalam BN serta Perikatan Nasional (PN) juga dan disebabkan itu, tak perlulah dilayan kerana Tony pun tak ada jawatan dalam DAP walaupun namanya masih ada dalam parti tersebut,” katanya. 

Tambahnya, golongan sedemikian dilihat tidak wujud di Kedah sewaktu BN dan PH berunding selama ini. 

“Di Kedah ini apabila berbincang, ada kalanya tinggilah suara sikit tetapi pada akhirnya setelah dijelaskan sebab sesuatu tindakan diambil, semua bersetuju. Macam itulah baru budiman ‘gentleman’,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *