TINDAKAN bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan BN-UMNO ‘pakatan korup’ ternyata mencetuskan kebimbangan kepemimpinan parti itu, tambahan pula menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Dalam reaksinya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.
‘’Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.
‘’Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tony Pua pada majlis makan malam mengumpul dana PRN DAP di Petaling Jaya kelmarin.
Dalam ucapannya, Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.
Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sewaktu berucap pada majlis tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sehubungan itu, Tony Pua menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.
‘’Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
‘’Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,’’ katanya.
Leave a Reply