PELAJAR tahfiz yang dilaporkan hilang lebih 70 jam di kawasan kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai, di sini Rabu lalu ditemui selamat.
Mangsa, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17, ditemui anggota penyelamat sekitar jam 10.49 pagi pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, remaja itu ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya pada jarak dua kilometer (KM) dari lokasi motosikal mangsa dijumpai.
“Operasi hari ketiga telah dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan gerak kerja dimulakan dengan melaungkan azan.
“Mangsa berjaya dijumpai oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dua jam operasi dimulakan. Situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak ditemui sebelum ini,” katanya di Gerik, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, usaha membawa keluar mangsa sedang dilakukan untuk dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.
“Liputan komunikasi agak terhad di lokasi kejadian. Disebabkan keadaan fizikal mangsa yang besar, kita cuba membawa mangsa keluar dengan menggunakan kenderaan. Seramai 94 anggota pelbagai operasi antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PDRM, PGA, Sapura dan orang awam menyertai operasi kali ini,” katanya.
Media melaporkan remaja terbabit antara pelajar terbaik di maahad tahfiz tempat dia belajar dan berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 14 tahun malah, sempat menjadi imam di surau kawasan rumahnya.
Pada Khamis, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima laporan sekitar jam 1.33 pagi berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang.
Mangsa kali terakhir dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9 pagi dikatakan mengalami gangguan emosi.
Pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa di kawasan kebun getah sekitar jam 6 petang sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Leave a Reply