MOMENTUM gelombang rakyat di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dilihat bakal menjadi tsunami yang akan menyebabkan perubahan besar dari PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menghuraikan petanda tersebut dalam ucapannya pada Ceramah Himpunan PERIKATAN NASIONAL (PN) BEST, di Tasek Gelugor malam tadi.
“Sebab itu bagi kita PRN enam negeri ini ialah satu referendum rakyat walaupun Perdana Menteri menyebut apa jua keputusan PRN enam negeri ini tidak akan menggugat Kerajaan Persekutuan.
“Dari segi politiknya yang jelas adalah penolakan rakyat. Bayangkan kalau Selangor kita (PN) ambil alih, Negeri Sembilan tumbang kepada PN, Kedah kita pertahankan. Kita menang Kelantan di Terengganu di Pulau Pinang.
“Enam-enam negeri ini menjadi satu gelombang. Akhirnya yang duduk di atas itu kepanasan, takkan lama mereka akan turun atau diturunkan insya-Allah,” ujarnya membongkar kegelisahan sedang melanda Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Harakahdaily.net melaporkan, Tuan Ibrahim berkata, kajian pelbagai pihak melihat gelombang kali ini lebih besar berbanding PRU15 lalu kerana rakyat selaku pengundi merasa ditipu oleh para pemimpin PH-BN yang melanggar sumpah dan janji mereka.
Katanya, rakyat sedang mengimbas semula segala kenyataan yang kononnya dari pakar berupa formula penyelesaian kepada masalah-masalah, namun sedang menimpa negara kini adalah sebaliknya.
“Rakyat monitor melihat seolahnya negara ini dipimpin oleh seorang manusia. Mari soalan kementerian apa pun dia yang jawab. Kadang-kadang jawapannya sekejap macam ini, kejap macam ini, berubah-ubah, flip flop,” tegasnya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut juga berkata, kekuatan gabungan dan nilai integriti yang dimiliki oleh PN cuba dirosakkan dengan tuduhan palsu kononnya melakukan rasuah, manakala akaun bank disekat.
Hal tersebut ujarnya, menyebabkan anak muda merasa bosan dengan kemelut politik dicipta itu lalu mereka mahukan barisan kepimpinan yang meyakinkan dan bukannya hanya sekadar bercakap dan berteori.
Tegasnya, beliau menyokong penuh agresif Perdana Menteri untuk memerangi rasuah, tetapi mestilah dengan tindakan dan disertakan bukti, bukan hanya menjadi cakap politik untuk memburukkan PN.
Sedangkan rakyat ujarnya, mengadakan perbandingan dengan melihat teladan telah dibawa pada pemerintahan kerajaan seperti di Kelantan tidak sebagaimana tuduhan yang dibuat itu.
Leave a Reply