TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, 245 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menandatangani aku janji untuk berpegang teguh dengan dasar gabungan itu.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi PN berkata, aku janji tersebut tidak meletakkan sebarang nilai denda sebagaimana yang dilakukan sesetengah parti sebelum ini.
“Kita tidak buat begitu kerana yakin calon-calon PN berpegang kepada aku janji dan angkat sumpah. Aku janji sudah dibuat pada PRN) Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Aku janji ini biasanya untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan rasuah dan berpegang kepada perlembagaan serta undang-undang. Kita harap mereka berpegang teguh kedudukan mereka itu atas dasar PN,” katanya lapar SINAR HARIAN.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 52 lembu sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah semua calon PN juga perlu menjalani tapisan untuk memastikan mereka ‘bersih’ daripada sebarang kesalahan dengan pihak berkuasa termasuk tidak muflis.
“Sebelum pemilihan dibuat, semua bakal calon perlu melalui proses saringan dengan teliti serta diperhalusi bagi memenuhi kriteria ditetapkan.
“Proses tapisan dijalankan bagi memastikan mereka tidak ada rekod polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Insolvensi.
“Ini sudah dijadikan panduan, pendek kata kita sudah bersedia lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum tarikh penamaan calon,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut melahirkan keyakinan PN mampu menyapu bersih kerusi di sesetengah negeri pada PRN negeri.
“Tiga negeri bawah pentadbiran PN yang dipimpin oleh Pas sebagai Menteri Besar akan kekal pada PRN ini.Malah jumlah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi juga akan meningkat,” katanya.
Leave a Reply