Oleh BADLISHAH MAT
UMNO Kedah berkemungkinan akan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi di negeri tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu hanya akan dimuktamadkan sebelum Khamis ini.
“Kalau kita ada 15 DUN yang bertanding, itu dikira minimum. Kalau dapat lebih daripada itu, maknanya itu sudah banyak,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Persiapan PRN UMNO DUN Sungai Tiang di Pejabat UMNO Pendang, hari ini.
DUN Kedah dijangka dibubarkan pada 28 Jun ini setelah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bercadang untuk memohon perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad ini.
Mengulas pembahagian dua daripada 36 kerusi DUN Kedah yang masih belum dapat dimuktamadkan oleh BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata, perkara itu dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Saya ingat yang itu bukan isu untuk diselesaikan. Insya-Allah dalam minggu ini sebelum raya haji kita boleh selesai,” katanya.
Mahdzir berkata, BN sudah memulakan gerak kerja termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) setiap DUN.
“Contoh DUN Sungai Tiang ada kira-kira 23 PDM, maka akan tubuh jawatankuasa di 23 PDM itu. Kalau di Tokai pula ada 21 PDM, jadi ada 21 jawatankuasa,” katanya.
Beliau berkata, antara gerak kerja yang diputuskan adalah untuk memastikan semua jawatankuasa yang ditubuhkan itu bekerjasama dengan calon PH di DUN yang ditandingi mereka.
“Katakan di Tokai akan ditandingi oleh PH, maknanya jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BN nanti akan membantu sebab ‘frontliner’ kepada Tokai adalah PH, jadi BN akan bantu. Begitu juga sebaliknya kalau Sungai Tiang nanti UMNO yang bertanding,” katanya.
Leave a Reply