LEBIH 6,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya kini sudah bersedia bagi menghadapi PRN tersebut.
Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya juga akan memohon bantuan daripada Bukit Aman serta kontinjen lain bagi membantu anggota sedia ada di negeri itu sekiranya keadaan memerlukan.
“Kita memang telah buat persiapan untuk menghadapi PRN bermula daripada proses penamaan calon, kempen, undi awal, hari pengundian serta pasca PRN.
“Secara umumnya, kita di Kontinjen Pulau Pinang sudah bersedia bagi menghadapi PRN,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Kok Chin menambah, pihaknya juga akan menjalankan Op Cantas dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman PRN bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kekecohan selain memastikan tindakan awal dapat diambil terhadap situasi yang dijangkakan boleh mencetuskan kekecohan.
Selain itu, jelasnya, bantuan daripada pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron, pasukan Light Strike Force (LSF), pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah juga akan digerakkan sepanjang PRN terbabit.
“Oleh itu, kita harap dan nasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan agar proses PRN nanti berlangsung dengan lancar,” katanya.
Leave a Reply