PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri
PERIKATAN Nasional (PN) akan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Ketika mengumumkan perkara itu,Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerusi-kerusi tersebut ialah 36 kerusi di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan.
‘’’Jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersatu (83 kerusi), Pas (126 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi),’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PN, di Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, jumlah kerusi baharu bukan incumbent yang bakal ditandingi oleh anggota parti PN ialah Bersatu (64 kerusi), Pas (50 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi).
Beliau berkata, jentera Pilihan Raya PN di peringkat negeri-negeri ketika ini pada tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi PRN dalam mempertahankan 3 negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan 3 negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan).
‘’Perikatan Nasional komited untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,’’ katanya.
Katanya lagi, PN akan menggunakan lambang gabungan itu negeri selain Kelantan dan Terengganu, yang akan menggunakan lambang Pas.
“Kecuali pimpinan PAS nak guna lambang PN,” katanya.
Ditanya mengenai calon yang diketengahkan, Muhyiddin berkata sebahagian besarnya penyandang.
“Semua calon kita ini akan angkat ikrar aku janji dan akan melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Muhyiddin juga memaklumkan bahawa PN tidak membincangkan ‘poster boy’, dan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi mengatasi PRU15.
Dewan Undangan Negeri bagi Kedah akan dibubarkan pada 28 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), Selangor (23 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai secara automatik), dan Kelantan (22 Jun), manakala Terengganu dijangka bubar selepas 26 Jun.
Leave a Reply