MB dijangka umum bubar DUN Terengganu selepas 26 Jun

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas 26 Jun ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman tidak menolak kemungkinan proses pembubaran DUN akan berlaku antara 27 hingga 28 Jun memandangkan ia adalah tempoh paling sesuai sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun.

“Bergantung kepada Menteri Besar, tetapi saya yakin (pembubaran DUN) selepas program di Istana Syarqiyyah sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Terengganu pada 26 Jun ini, akan berlakulah (pembubaran DUN).

“Saya yakin beliau (Menteri Besar) akan ambil masa selepas program 26 hari bulan itu, iaitu selepas majlis jamuan bersama warga istimewa dan fakir miskin di mana ia merupakan program terakhir di istana bersama rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) DUN Alur Limbat di Dewan Sivik Bukit Payung, di Marang, hari ini.

Sementara itu, Ariffin berkata, seluruh jentera kini bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pihkanya tiada masalah sebab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu yang mereka istilahkan sebagai ‘simulasi pilihan raya’.

“Maksudnya ia sebagai ‘training ground’, jadi kami masih panas-panas lagi. Bendera-bendera kita pun masih ada dan sudah ada beberapa tempat yang telah menaikkan bendera.

“Jadi tak perlu yang barulah (bendera) sebab kalau bendera macam tu (masih baharu), orang pun macam tu. Masih ‘fresh’ lagi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Sehingga kini, Terengganu masih belum memutuskan tarikh sebenar pembubaran DUN di negeri berkenaan.

Lima negeri yang akan berdepan PRN telah memuktamadkan tarikh pembubaran DUN iaitu Kelantan (22 Jun), Selangor (23 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Kedah (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *