Gelaran Tan Sri: Nik Abduh tak anggap Dr. Mahathir perkecil Nik Aziz

KELUARGA dan waris Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak tersinggung dengan komen spontan dibuat bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penganugerahan pingat kebesaran dari Istana Negara baru-baru ini.

Salah seorang anak bekas menteri besar Kelantan itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin insiden tersebut boleh difahami oleh orang ramai.

Sebaliknya dakwa Nik Mohamad Abduh, cuma laskar siber tertentu saja memainka isu berkenaan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Bagi pihak keluarga, kami tidak rasa apa-apa kerana dapat memahami dengan mudah. Jadi tidak perlulah untuk mengulas lanjut berkenaan perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Pada 6 Jun lalu Mahathir secara sinis mengundang ketawa pemimpin politik yang hadir semasa sidang medianya selepas ditanya mengenai penganugerahan pingat yang membawa gelaran Tan Sri kepada Nik Abdul Aziz.

Turut menerima pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ialah veteran DAP, Lim Kit Siang.

Gambar fail

Kata Mahathir dengan pingat tersebut Nik Abdul Aziz dan Lim kini ‘setaraf’.

Komen itu disambut ketawa beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beberapa hari kemudian salah seorang cucu Nik Abdul Aziz turut menarik perhatian ramai apabila membuat hantaran di media sosial bagi menyatakan rasa kecewanya mengenai anugerah tersebut.

Dia turut mendakwa keluarga mereka diberi bayangan bekas mursyidul am Pas terbabit akan menerima gelaran Tun, bukannya Tan Sri.

Nik Mohamad Abduh berkata, ketika sidang media pada awal Jun lalu itu, Dr. Mahathir sebenarnya mahu mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menegaskan keluarganya faham kenyataan dibuat itu, Nik Mohamad Abduh berkata. Dr. Mahathir hanya mempersoalkan keputusan kerajaan memberi pingat PSM kepada Lim.

“Kenyataan Dr. Mahathir bukan bertujuan menghina atau mempersoalkan pengurniaan darjah kebesaran kepada bekas Mursyidul Am Pas itu.

“Tun M (Mahathir) bagi hint… beliau bukan kata kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetapi lebih kepada mengkritik pendekatan kerajaan Malaysia.

“Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan anugerah darjah kebesaran kepada Tan Sri Lim Kit Siang.

“Beliau anggap perjuangan Tok Guru tidak boleh disamakan dengan perjuangan Kit Siang. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh enggan mengulas lanjut kenyataan atau luahan dibuat cucu Nik Abdul Aziz baru-baru ini.

Kata bekas Ahli Parlimen Bachok tersebut, kenyataan dibuat anak saudaranya itu hanyalah pandangan peribadi.

“Saya tidak mahu ambil pu­sing kerana bagi saya, pengurniaan darjah itu bertujuan baik untuk mengiktiraf perjuangan Tok Guru.

“Maka ia baik bagi saya serta keluarga. Kami berterima kasih kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *