TIADA sebarang krisis dalaman di antara pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin seperti digembar-gemburkan beberapa laporan media.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyifatkan dakwaan yang memetik sumber itu sebagai satu laporan yang berniat jahat.
“Jika laporan itu dibuat dengan memetik sumber, jelas ia tidak beretika dan berniat jahat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri tidak lama lagi.
“Laporan itu (berniat) jahat. Buat berita dan hanya memetik sumber. Tidak beretika,” katanya memetika laporan Berita Harian.
FMT melaporkan timbul spekulasi mendakwa Muhyiddin dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti itu.
Ini berkaitan timbul khabar angin yang menyatakan Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN mungkin akan digantikan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Dua nama disebut menggantikan Hamzah iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim atau Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor.
Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, spekulasi itu adalah cubaan pihak tertentu yang sengaja dicetuskan menjelang PRN di enam negeri untuk memburukkan Bersatu dan PN.
Katanya, sebelum ini ada cubaan melaga-lagakan parti komponen dalam PN, kini selepas gagal mereka mereka cerita kononnya wujud krisis dalaman dalam Bersatu.
“Saya melihat ini cerita mengadu domba, yang mana baru-baru ini mereka cuba melagakan komponen PN dan kini mereka sentuh kepimpinan Bersatu pula.
“Sebenarnya, tiada sebarang perbalahan dan tiada sebarang krisis dalam ketika ini dan diakui semua Hamzah seorang Ketua Pembangkang yang cemerlang dalam menjalankan tugasnya
“Mana mungkin Setiausaha Agung PN dan Bersatu berlaku konflik kepentingan dengan Pengerusi PN dan Presiden Bersatu. Jika bergaduh, macam mana mereka hendak bekerja,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti, beliau begitu dekat dengan kedua pemimpin itu dan tidak nampak sebarang perbalahan, sebaliknya selaku Setiausaha Agung Bersatu dan PN, Hamzah bersetia kepada presiden.
“Jangan jadikan kempen menjelang PRN ini untuk mengadu domba tumpu kepada kelebihan dan kekurangan parti lawan, ini bukan gelanggang yang sesuai dan wujudkan isu pecah belah parti.
“Tiada perselisihan faham, kerana kami sibuk melaksanakan kerja menarik pengundi, mengumpul sokongan rakyat,” katanya
Mengakui Ahli Parlimen Larut itu mempunyai pengaruh terutama dalam menarik kemasukan bekas pemimpin parti lain dalam parti itu, Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, menarik keahlian baharu menjadi sebahagian tugasnya kerana beliau menjadi pengerusi jawatankuasa keahlian parti.
“Hamzah menjalankan tugas dengan baik untuk membawa masuk pemimpin yang disisih dan digantung UMNO dan parti lain ke dalam PN.
“Itu memang tugas beliau sebagai Setiausaha Agung parti dan dilaksanakan dengan baik bersama Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Annuar Musa,” katanya.
Leave a Reply