Penganalisis dakwa naratif dibawa Anwar masih gagal tarik sokongan Melayu

NARATIF tata kelola, masa depan ekonomi dan watan, yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini didakwa masih gagal untuk menarik sokongan orang Melayu kepada beliau serta kerajaan pimpinannya.

Penganalisis politik berpendapat, apa yang dijanjikan Anwar sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, termasuk agenda pembaharuan dalam institusi masih longgar, manakala masa depan ekonomi tidak jelas.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali berkata, Anwar sering menyebut untuk mewujudkan tata kelola yang baik dan membuat pembaharuan, namun ia masih belum meyakinkan.

“Sebagai contoh, reformasi institusi Peguam Negara dan pendanaan politik yang masih belum dilaksanakan dan setakat ini menjadi sesuatu yang populis saja.

“Ini antara perkara yang perlu dilaksanakan, selari dengan hasrat reformasi yang dijanjikan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, sebelum ini bahawa kesukaran Anwar untuk meraih sokongan Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang lebih didorong rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbirannya yang dilihat kurang berkesan dari segi hala tuju ekonomi, berbanding faktor ‘Gelombang Hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN).

Khairy berpandangan, sejak tujuh bulan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, jelas terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi, dengan ringgit terus melemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat.

Daripada segi ekonomi, Muhammad Asri berpandangan, masalah struktur tidak dijadikan agenda besar dan banyak ukuran terhadap ekonomi negara menunjukkan kemerosotan.

“Kita juga makin merosot dari segi produktiviti, berbanding negara jiran, indeks persaingan dan mata wang, belum lagi menyebut mengenai kedudukan mata wang.

“Selain itu, masalah struktur kita adalah gaji, namun tiada apa-apa yang dilakukan mengenainya dan tiada apa-apa yang kukuh dalam usaha mengatasi masalah kos sara hidup setakat ini,” katanya.

Pada masa sama katanya, Anwar juga dilihat sebagai pemimpin yang lebih memperjuangkan kepelbagaian kaum, berbanding Melayu.

“Orang Melayu mahu Islam dan budaya, bahasa dan ketinggian ekonomi Melayu sentiasa didaulatkan. Disebabkan itu, Pas mendapat sokongan kerana memainkan sentimen Melayu, yang bermakna untuk orang Islam.

“Apabila disebut Madani yang dibawakan kerajaan ketika ini, ia lebih kepada nilai sejagat, bukan nilai watan dan orang Melayu masih kabur di mana kedudukan Melayu serta Islam dalam kerangka Madani ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Abdul Aziz Azizam, turut berpandangan kemerosotan sokongan orang Melayu kepada Perdana Menteri lebih kepada pentadbiran kerajaan, bukan tertumpu kepada ‘Gelombang Hijau’.

“Terdapat beberapa faktor pemberat utama yang memberi kesan itu, antaranya bebanan ekonomi yang ditanggung rakyat. Ini juga tidak setara dengan cadangan dan dasar yang sebelum ini digambarkan, berkaitan formula pemulihan ekonomi rakyat.

“Selain itu, pengendalian pentadbiran kerajaan hari ini berkaitan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam, seperti isu kalimah Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *