Nafi Muhyiddin, Hamzah tak sebulu mengenai masa depan parti

AHLI Parlimen Ketereh, Khlir Mohd. Nor menafikan dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berselisih mengenai hala tuju parti.

Mohd. Nor yang namanya disebut-sebut pengganti Hamzah sebagai ketua pembangkang berkata, dakwaan itu sengaja dibuat oleh seteru.

“Itu semua khabar angin nak hancurkan PN. Parti lawanlah yang buat khabar angin ini.

“Mereka ada penulis-penulis blog mereka juga. Saya tahu ada sangkut paut dengan saya, kononnya (nak lantik) saya ketua pembangkang,” katanya memetik laporan FMT.

Semalam, sumber Bersatu memberitahu FMT bahawa Muhyiddin dan Hamzah tidak sependapat mengenai hala tuju parti, dan berselisih tentang bagaimana Bersatu dan PN sepatutnya beroperasi, naratif apabila menentang parti pemerintah, dan kerusi mana yang akan ditandingi pada PRN akan datang.

Dakwaan itu menyusul laporan media baru-baru ini bahawa Bersatu sedang mempertimbangkan Khlir atau Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengganti Hamzah.

Sumber juga mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam parti.

Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi ‘poster boy’ untuk Bersatu, dikatakan terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.

Khlir menafikan Muhyiddin dan Hamzah berselisih mengenai peranan Azmin.

“Tak, tak, itu salah. Azmin bagus. Azmin jaga parti bagus,” katanya dan menambah Bersatu tidak pernah bincang tentang menukar ketua pembangkang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *