Jangan ingkar titah Sultan Kedah berkaitan KXP

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan harapan agar tiada mana-mana pihak ingkar terhadap titah Sultan negeri itu, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) diberi layanan dan perhatian adil serta sewajarnya untuk direalisasikan.

Menurut Muhammad Sanusi, semua pihak tidak seharusnya hanya menjunjung titah sultan yang berpihak kepada mereka semata-mata.

Katanya, ikrar kesetiaan kepada raja dan negara perlu sentiasa dipatuhi seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Saya harap titah tuanku ini tiada orang atau pihak yang ingkar. Janganlah kita menjunjung titah apabila hanya ‘sebulu’ dengan kita. Apabila tak ‘sebulu’, kita ingkar. Kita dah berikrar kesetiaan kepada raja dan negara. Kena setialah, ini Rukun Negara ‘bos’!” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini, Sultan Sallehuddin sekali lagi ‘bersuara’ mengenai KXP dengan menyatakan, amat rugi sekiranya projek itu tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin negeri dengan Persekutuan hingga membelakangkan keperluan negeri serta negara yang lebih mustahak.

Justeru baginda menyeru supaya projek itu diberi layan dan perhatian adil serta sewajarnya agar ia dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

Ditanya pandangannya mengenai titah baginda yang berpendapat bahawa projek itu dapat disegerakan sekiranya kerajaan negeri serta Persekutuan dapat bekerjasama dengan pucuk pimpinan mengenepikan perasaan peribadi, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa membawa kepentingan negeri.

“Kalau pihak yang ‘menahan’ projek itu ada kepentingan peribadi, maka mereka kena ketepikanlah. Kalau mereka kata tak ada kepentingan peribadi, maka kena ‘lepaskanlah’ projek ini agar dapat dilaksanakan.

“Dulu masa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), kerajaan Persekutuan kata semua projek lapangan terbang perlu tunggu Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) disiapkan. Namun tiba-tiba, diumumkan pula projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dalam Belanjawan.

“Kenapa boleh pula diumumkan dua projek itu sebelum NASP dijalankan? Bagi saya, mesti ada benda tak betul kerana mengapa dua projek itu boleh dikecualikan dari NASP tetapi KXP tidak?” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *