DAP Sarawak cuma tahu komen negatif terhadap kerajaan GPS

MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mengkritik DAP Sarawak kerana komen yang hanya bersifat negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun kerajaan Sarawak berjaya dengan cemerlang dalam menguruskan kewangan, sumber atau infrastruktur, DAP Sarawak akan terus memilih berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik.

“Biarlah mereka menyalak. Mungkin pada mereka, yang menyalak paling kuatlah pemimpin paling kuat bekerja dan patut dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan,” katanya memetik laporan FMT.

Hari ini, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

Malah Ketuanya, Peter Hee, mlmenuduh 76 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS gagal menangani kesan ekonomi teruk dihadapi rakyat dan meringankan beban mereka.

Beliau mendakwa ADUN GPS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post semalam melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

Tiang bendera setinggi 99m itu dikatakan 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Terletak antara kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii mendesak kerajaan Sarawak telus mengenai projek tiang bendera itu, sekalipun dibiayai swasta.

Yii, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Petua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, ini penting bagi memastikan projek itu tidak digunakan sebagai habuan untuk sebarang kontrak daripada kerajaan negeri, sama ada pada masa ini atau akan datang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *