MUSLIMAT Pas Kedah menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri gagal kerana terganggu dengan saingan politik daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.
Ketua penerangannya, Mardhiyyah Johari berkata demikian susulan Anwar masih tidak memberikan jawapan terhadap permohonan Sanusi untuk bersua muka bagi membincangkan isu pembangunan Kedah.
“Tindakan Perdana Menteri kesepuluh yang lemah akal budi ini sangat bercanggah dengan salah satu nilai Madani yang diketengahkan Anwar,” katanya dalam kenyataan bertajuk Kedah bukan musuh Putrajaya hari ini.
Sanusi hujung bulan lalu berkata, beliau masih menunggu persetujuan Anwar setelah menghantar dua pucuk surat bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan Aerotropolis di Kedah.
Aerotropolis ialah projek metropolitan subwilayah yang merangkumi kemudahan awam, guna tanah dan ekonomi berpusatkan lapangan terbang di Kuala Muda.
Projek seluas 9,800 ekar itu melibatkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hab Logistik, Aerospace, dan Pembuatan Sidam (Slam).
Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baru di Kulim.
Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan bercadang menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.
Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Mardhiyyah berkata, Anwar gagal melaksanakan fungsi Perdana Menteri serta Menteri Kewangan secara profesional.
Katanya, apa yang berlaku juga adalah bukti bahawa Anwar tidak dapat membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara.
“Berkali-kali Muhammad Sanusi menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik serta isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri adalah hal peribadi dan bersifat hubungan antara parti politik dengan parti politik yang lain,” katanya.
Kata Mardhiyyah, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan politik antara pemimpin negeri dan persekutuan.
Leave a Reply