Oleh RIZQI ZABIDI
KEKALUTAN seorang pengedar dadah melarikan diri daripada pihak berkuasa mendorongnya memandu secara berbahaya di laluan sempit hingga mengakibatkan kereta Perodua Myvinya terbabas lalu terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar dekat Pendang, Kedah, semalam.
Menurut Ketua Polis Pendang, Deputi Superitenden Arriz Sham Hamezah, keadaan itu memaksa dua anggota polis turut terjun ke dalam tali air tersebut bagi mengeluarkan suspek berusia 30-an dari kereta dipandunya itu.
Katanya, kejadian itu bermula kira-kira pukul 6.30 petang apabila suspek dikesan memandu kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Batu Menunggul oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang menjalankan tugas Ops Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0.
“Melihat keadaan itu, sepasukan anggota polis menghampiri kenderaan berkenaan untuk diperiksa namun dia memecut keretanya menuju ke jalan besar arah Kobah.
“Pihak polis kemudiannya mengejar kereta tersebut hingga memasuki kawasan mini tar di Kampung Alor Besar. Tiba di satu lokasi, kereta suspek terbebas secara tiba-tiba ke dalam tali air di kawasan tersebut,” katanya.
Berikutan itu katanya, anggota polis terlibat segera terjun ke tali air bagi membawa suspek keluar dari kenderaan untuk dibawa ke tebing.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang. Dia juga didapati tidak mengalami kecederaan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut. Semakan mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di Pendang dengan gelarang nama ‘Diuh’,” katanya.
Tambahnya, suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
Leave a Reply