PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah mengingatkan UMNO negeri itu supaya tidak memperkecilkan kekuatan ‘rakan kerajaan perpaduan’ dalam usaha bersamanya memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Raja Bahrin mengakui UMNO sememangnya telah lama bertapak di negeri itu berbanding gabungan PH dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun sokongan ‘parti baharu’ itu mampu menjadi penentu kemenangan di lapan kerusi mencatat majoriti tipis pada pilihan raya lalu.
“Contoh antara lapan kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dimenangi Pas dengan majoriti empat undi manakala kemenangan Barisan Nasional (BN) di Bukit Besi hanya dibezakan dengan 46 undi.
“Undi diperoleh PH lebih tinggi dari majoriti kemenangan UMNO atau Pas, perlu diingat peranan parti gabungan lain tidak harus diperkecilkan.
“Parti ‘baru’ boleh membantu menjadi penentu ‘King Maker’ dalam situasi Terengganu yang lapan DUN majoriti menang begitu tipis jika penglibatan kami dihargai dan tidak direndahkan,” katanya memetik laporan FMT.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengingatkan PKR supaya ‘ukur baju di badan sendiri’ susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.
Ahmad berkata, parti itu seharusnya melihat kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di Terengganu hanya membabitkan Pas dan UMNO.
Leave a Reply