SIASATAN ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilakukan sendiri agensi penguat kuasa itu secara bebas dan berkecuali.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes itu bukan pemasalahan yang harus dibangkitkan kepada beliau kerana tindakan SPRM itu dilaksanakan seperti termaktub dalam Akta SPRM.
Katanya, memang tidak dapat dielakkan persepsi campur tangan Perdana Menteri kerana ini membabitkan tokoh politik terkenal .
“Tapi kita harus terikat dengan fakta dan undang-undang. Orang yang menganggap ini tuduhan bermotif politik perlu melihat kepada fakta dan bukan mengelirukan rakyat. Kalau nyata siasatan ada terhadap kes berprofil tinggi dan alasan cukup kukuh untuk mendakwa, maka itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
“Sepatutnya masyarakat termasuk ahli Dewan Negara memberi sokongan yang padu untuk usaha membersihkan negara dari penyakit rasuah ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini, lapor Berita Harian.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair yang ingin mengetahui sejauh manakah SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh.
Sabtu lalu, SPRM memaklumkan akan meneliti unsur kesalahan rasuah berhubung dakwaan isu pemberian kontrak gentian optik RM214.2 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan akan dijalankan sekiranya asas itu wujud mengikut kesalahan rasuah.
Jumaat lalu, Anwar mendakwa Telekom Malaysia Berhad (Telekom) mengeluarkan surat meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.
Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Dr Mahathir, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.
Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Perdana Menteri berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.
Sementara itu menjawab soalan tambahan, Datuk Dominic Lau mengenai mekanisme siasatan SPRM tidak dipengaruhi kuasa politik termasuk arahan politik, katanya kaedah yang dijalankan SPRM jelas, yang mana jika ada aduan maka akan dilakukan siasatan.
Beliau menjelaskan sebagai Perdana Menteri, beliau mengarahkan semua badan penyiasatan termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis dan Bank Negara (BNM) menjalankan tindakan tugas masing-masing secara profesional tanpa rasa takut dan pilih kasih.
Katanya, arahan saya jelas yang mana badan penyiasat perlu melaksanakan tugas berdasarkan fakta dan mengikut lunas undang-undang.
“(Dalam isu ini) kita kena lihat kepada fakta , jika ketika memegang kuasa, orang itu menggunakan kuasa itu, memberikan kontrak kepada anak pinak, ahli keluarga dan kroni serta mengkayakan diri, jangan dipersoalkan siasatan dan katakan ini tohmahan politik,” katanya.
Beliau mencabar mereka yang mendakwa pertuduhan berkenaan bermotifkan politik mengemukakan aduan mengenainya untuk siasatan lanjut.
“Bagaimana kita boleh katakan kekayaan yang ada itu tidak dapat diterangkan, malah pengedaran wang berleluasa. Sebagai Ahli Dewan Negara sepatutnya kita mengambil sikap yang sangat positif dalam hal ini dan menyelamatkan negara dari kencah mala petaka rasuah yang berleluasa,” katanya
Perdana Menteri turut menyatakan kebimbangan dengan sikap sesetengah pihak yang menyatakan tindakan yang di ambil SPRM adalah atas motif politik.
“Sekarang ini setiap tindakan di ambil SPRM dikatakan sbeagai bahan politik dan ini bahaya kepada negara.Sekarang ini setiap tindakan di ambil SPRM dikatakan sebagai bahan politik dan ini bahaya kepada negara.
“Saya ingin memberi jaminan dalam Kerajaan Perpaduan arahan saya jelas, semua pihak perlu bertindak dengan tegas supaya penyakit ‘barah’ rasuah ini dapat dihapuskan dalam negara ini,” katanya.
Leave a Reply