KERTAS siasatan berkaitan kes seorang lelaki bergelar Datuk Seri disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur akan diserahkan Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan sudah di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sementara itu, sumber berkata, difahamkan dua kejadian berasingan berlaku pada 6 Jun dan 14 Jun lalu.
Katanya, kejadian berlaku ketika ahli perniagaan berusia 63 tahun mengadakan pertemuan bersama suspek berusia 54 tahun dan seorang lagi rakan.
Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa tidak menunaikan permintaan supaya melantiknya dan seorang lagi rakan sebagai pengarah ayarikat.
Menurutnya, suspek yang digelar ‘mafia korporat’ itu didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar sambil mengugut mahu menembak mangsa.
“Dalam pertemuan kedua pula, suspek sekali lagi mengugut dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum dileraikan oleh seorang rakan mereka,” katanya.
Berikutan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply