Pastikan menang dulu, baru bincang siapa KM Pulau Pinang

Oleh RIZQI ZABIDI

SOAL siapa yang bakal menjadi nakhoda di Pulau Pinang sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di negeri itu tidak seharusnya ditimbulkan sekarang ketika semua pihak seharusnya memberi fokus kepada usaha untuk menawan negeri itu terlebih dulu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau sudah mengingatkan ahli-ahli parti itu agar mengambil pengajaran daripada peristiwa pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 yang menyaksikan Gerakan kehilangan negeri tersebut.

Menurutnya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perkara itu namun salah satu sebab utamanya adalah perebutan jawatan Ketua Menteri dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

“Sebab itu dalam Konvensyen PN di Pulau Pinang saya dah nyatakan yang kita tak perlu bincang lagi siapa akan jadi Ketua Menteri. Pastikan menang dulu, kemudian baru kita bincang.

“Jangan bangkitkan isu orang Melayu jadi Ketua Menteri, Cina, atau India. Semua itu tak penting lagi sekarang.

“Saya tak mahu kegagalan yang dihadapi pada 2008 berulang sekali lagi. Sebab itu saya dah beri arahan agar jangan bincangkan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Gerakan dilaporkan akan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN di Pulau Pinang dengan Dominic juga sudah mengesahkan akan tampil selaku calon di salah sebuah DUN dalam negeri itu. 

Terdahulu ketika merasmikan persidangan tersebut, Dominic mendakwa Pakatan Harapan (PH) kian aktif menggunakan taktik kotor bagi menyerang Gerakan termasuk dirinya menjelang ketibaan PRN tidak lama lagi.

“Untuk mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu dan bukan Muslim, mereka kata jika PN tadbir negeri tak boleh lagi makan babi, minum arak dan kena pakai songkok. Malah apabila saya pergi ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dengan memakai baju Melayu dan songkok, mereka kata kononnya Presiden Gerakan dah masuk Islam dan bersama Pas.

“Tetapi saya juga ingin ingatkan, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Sambutan Tahun Baharu Cina, mereka juga mengenakan pakaian kaum Cina dikenali sebagai ‘tang zhuang. Bukan itu saja, kedua-dua pemimpin iu turut memberikan angpau kepada anak yatim selain sama-sama menggaul Yee Sang dan membuat kaligrafi Cina,” katanya.

Justeru katanya, apa yang berlaku bukanlah gelombang hijau semata-mata sebaliknya gelombang rakyat yang akan menggunakan PRN kali ini sebagai referendum bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

“Statistik kita pada masa ini, sokongan orang Melayu kepada PN adalah sebanyak 85 peratus. Sokongan itu saya lihat bukan saja akan kekal malah bakal bertambah pada masa depan kerana apabila saya bersama Muhyiddin di Pulau Pinang, semua kaum tak kira Melayu, Cina dan India mahu bergambar bersama termasuk di Lapangan Terbang.  

“Dengan sokongan sebegitu, kita yakin akan menang kesemua 36 kerusi ditandingi PN di Kedah termasuk yang diwakili Gerakan. Saya percaya dan yakin, kita akan menang kali ini termasuk dengan sokongan sepenuhnya daripada ahli-ahli Gerakan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *