Kes tetak ibu hingga mati: Suspek pernah mengamuk, rosakkan beberapa kenderaan jiran

SEORANG lelaki yang menetak leher dan kepala ibunya menggunakan kapak hingga mati di Taman Temiang Utama, Muar malam pernah merosakkan beberapa kenderaan penduduk kawasan perumahan berkenaan.

Seorang jiran suspek yang enggan dikenali berkata, mereka yang tinggal di situ mengetahui lelaki tersebut menghidap masalah mental, namun jarang melihatnya di luar kawasan rumah.

“Kejadian beberapa tahun lalu menyebabkan kereta milik penduduk taman ini rosak, cermin pecah. Suspek melarikan diri ke rumah abangnya di Sungai Abong, namun polis ke sana dan menahannya selepas penduduk membuat laporan.

“Dia cukup dikenali penduduk di sini, ahli keluarganya tidak begitu bergaul dengan orang lain, mungkin malu dengan perbuatan suspek.

“Saya tak sangka tindakan suspek hingga ke tahap ini (membunuh ibu) selepas dimaklumkan jiran mengenai kejadian malam tadi,” kata yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui hari ini.

Suspek kes tetak ibu hingga mati dibawa keluar dari mahkamah selepas direman tujuh hari. - NSTP/Alias Abd Rani
Suspek kes tetak ibu hingga mati dibawa keluar dari mahkamah selepas direman tujuh hari. – Foto Berita Harian

Dalam kejadian 8 malam tadi, ibu suspek yang berusia 73 tahun maut selepas kepala dan lehernya didakwa ditetak berkali-kali oleh suspek yang berusia 47 tahun sebelum mayat ditemui di ruang tamu rumah.

Suspek yang tidak bekerja juga dilaporkan mengalami masalah mental kerana siasatan polis pada malam kejadian menemui beberapa kad laporan psikiatrik.

Menurut jiran suspek itu lagi, ketika kejadian malam tadi, dia mendapat tahu salah seorang cucu mangsa berusia belasan tahun berada dalam rumah, namun berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Tidak ramai ahli keluarganya dalam rumah ketika itu. Cucu mangsa kemudian memberitahu jiran mengenai kejadian itu sebelum menghubungi polis,” katanya, lapor Berita Harian.

Seorang lagi penduduk memberitahu, ahli keluarga suspek jarang keluar rumah bercampur dengan penduduk di taman berkenaan, menyebabkan mereka tidak begitu dikenali.

Katanya, malam kejadian, dia baru pulang dari minum di kedai makan berhampiran sebelum melihat beberapa kereta peronda polis di rumah mangsa.

“Saya kemudian ke lokasi dan dimaklumkan seorang wanita mati dibunuh anaknya. Sepanjang menetap di sini beberapa tahun lalu, ini kali pertama kejadian mengerikan seperti ini di sini,” katanya yang berusia 56 tahun.

Tinjauan mendapati beberapa ahli keluarga mangsa sibuk mengemas rumah, namun enggan ditemui media.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *