Gerakan pastikan calon bertanding PRN fasih Bahasa Melayu 

Oleh RIZQI ZABIDI

SETIAP calon dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu melepasi beberapa syarat utama antaranya fasih berbahasa Melayu.

Menurut Presiden parti itu, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, pihaknya menetapkan syarat tersebut bagi memastikan kalangan calon tersebut mampu membela dan menyampaikan isu rakyat dengan baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

Katanya, sebuah jawatankuasa bebas akan membuat penilaian terhadap calon-calon yang dicadangkan badan perhubungan negeri termasuk berkaitan kefasihan berbahasa Melayu serta faktor boleh menang di kawasan ditandingi.

“Fasih berbahasa Melayu adalah syarat yang sangat penting kerana kita tak mahu mereka ini tidak boleh membela nasib rakyat di DUN disebabkan masalah bahasa.

“Jika tak boleh patuhi syarat ini, jangan jadi calon atau ‘Yang Berhormat. Beri pada orang lain yang berkemahiran dan mempunyai potensi untuk menang.

“Kita juga akan buat kajian mengenai ‘winnable candidate’ untuk diketengahkan. Bukan mereka cakap saja sebaliknya akan ada jawatankuasa bebas yang menilai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Sementara itu Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Gerakan akan bertanding di tiga kerusi DUN Kedah dalam PRN akan datang.

“Rundingan kerusi dah selesai tetapi pengumuman mengenai kerusi mana akan ditandingi parti komponen PN, akan diumumkan apabila tiba masanya nanti. Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama antara setiap parti komponen di Kedah,” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian, Dominic berkata, strategi terbaik untuk PN menang dalam PRN kali ini adalah menceritakan realiti sebenar mengenai keadaan negara ini.

“Kita faham rakyat sekarang tengah susah. Duit tak cukup manakala inflasi dan harga barang masih tinggi hingga nak membeli pun tak mampu.

“Nilai mata wang kita juga semakin menurun tetapi saya tak terperanjat kerana Menteri Kewangan kita memang tak mampu buat kerja. Beliau cuma tahu bercakap saja untuk memberi gambaran baik tetapi tak mampu untuk kawal inflasi. Selama enam bulan ini, memang mereka gagal memimpin negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *