MUNGKIN ramai dalam kalangan pemerhati politik beranggapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memasang angan-angan terlalu tinggi apabila membayangkan gabungan parti politik itu mampu menang sehingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jumlah itu adalah separuh daripada keseluruhan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang dan kemenangan hanya satu kerusi DUN lagi membolehkan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah (21 kerusi DUN).
Sangat mudah untuk memahami mengapa ramai dengan mudah merumuskan Pulau Pinang tidak mungkin akan terlepas daripada DAP selepas parti itu berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan merampas pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Dengan sentimen sokongan berasaskan kaum khususnya dalam kalangan pengundi Cina yang masih menebal, situasi itu memberi kelebihan kepada DAP di Pulau Pinang yang mana majoriti pengundinya merupakan masyarakat Cina.
Demografi persempadanan kawasan pilihan raya juga menguntungkan DAP apabila sebanyak 19 kawasan DUN di Pulau Pinang merupakan majoriti pengundi Cina.
Bermula pada PRU 2008, calon-calon DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN itu dengan rekod majoriti undi paling tinggi dalam sejarah PRU negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pastinya tidak membuat andaian semberono berkenaan peluang PN di Pulau Pinang, melainkan berdasarkan realiti politik semasa terutama selepas PRU-15.
Petanda paling jelas adalah gelombang PN pada PRU-15 yang turut merempuh Pakatan Harapan (PH) dan BN di Pulau Pinang yang mana kerusi Parlimen yang sebelum ini diketahui kubu kuat kedua-dua parti itu antaranya Permatang Pauh dan Kepala Batas berjaya ditumbangkan.
Sehingga kini, dalam tempoh yang singkat menjelang PRN Pulau Pinang, gelombang PN pada PRU-15 itu bukan sahaja tidak menunjukkan tanda-tanda akan padam, sebaliknya membara semakin kuat dalam kalangan rakyat.
Jika keputusan PRU-15 dijadikan ukuran yang mana gelombang PN itu mencipta kejayaan bersih di kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu, maka PN Pulau Pinang sudah boleh menjangkakan kemenangan selesa di 15 kerusi DUN melayu di negeri itu.
Cabaran sebenar ketika ini adalah bagaimana untuk PN mengambil peluang di kerusi pengundi bercampur dengan peratusan kaum seimbang di Pulau Pinang yang berbaki kira-kira enam kerusi DUN lagi. PN mungkin berpeluang mencipta kejutan sekiranya meletakkan calon yang tepat di kerusi-kerusi pengundi bercampur ini khususnya dalam kalangan anak tempatan yang dilihat lebih dekat dengan pengundi setempat.
Selain itu, PN juga perlu mengambil peluang untuk membuka mata pengundi setempat berhubung kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah DAP sejak parti tersebut mengambil alih pentadbiran pada 2008.
Antaranya mengenai isu banjir, kesesakan jalan raya, ketiadaan projek rumah mampu milik, projek-projek pembangunan yang merosakkan alam sekitar seperti tambak laut dan banyak lagi.
Pergeseran dalam kalangan penyokong dan pemimpin DAP Pulau Pinang juga boleh dijadikan modal politik kepada PN untuk membuka mata pengundi negeri itu khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.
Sehingga kini, pemimpin DAP masih gagal menguruskan dengan baik rasa marah dan tidak puas hati penyokong mereka berhubung keputusan mengadakan kerjasama politik dengan BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ramai penyokong DAP masih belum dapat menerima kerjasama politik antara kedua-dua parti itu memandangkan kedua-dua pemimpin parti tersebut sebelum ini saling mendedahkan keburukan dan salah guna kuasa antara pemimpin mereka di pentas politik.
Kesemua faktor ini, ditambah dengan situasi pentadbiran negara di Putrajaya yang disifatkan Muhyiddin seolah-olah tidak berfungsi di bawah Kerajaan Perpaduan, boleh menjadi kelebihan kepada PN untuk membuat kejutan pada PRN Pulau Pinang.
Leave a Reply