POLIS Pulau Pinang menahan seorang wanita berusia 32 tahun kerana dipercayai memuat naik kandungan yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita itu ditahan Selasa lalu selepas dipercayai memuat naik kandungan di media sosial berhubung penganugerahan pingat kepada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan mengaitkan figura tersebut sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.
Menurut beliau, polis menerima laporan daripada orang awam pada 7 Jun lalu mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.
”Susulan itu, pada 13 Jun pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun di pekarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) kerana dipercayai memuat naik kandungan di media sosial yang berbaur penghinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bahan bukti berupa komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telah diambil daripada suspek bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, suspek telah diberikan jaminan polis pada hari yang sama kerana mengadu sedang mengandung enam bulan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan kes disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya.
Leave a Reply