BEKAS Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menuntut kepada Khairul Azwan Harun untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
Tajuddin berkata, tuntutan itu dibuat setelah Khairul Azwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak mendakwa beliau telah mensabotaj kempen bahagian itu pada Pilihan Raya Umum ke-15, tahun lalu.
“Saya telah melantik peguam untuk menulis surat kepada Azwan Bro (Khairul Azwan) dan kita beri tempoh seminggu buat kenyataan maaf secara terbuka. Dalam tempoh itu tidak tarik kenyataan dan minta maaf, saya akan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang iaitu saman beliau,” katanya lapor Sinar Harian.
Tajuddin berkata, aduan juga akan diajukan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk diambil tindakan lanjut.
“Selain tindakan undang-undang, tindakan dalaman parti iaitu aduan kepada Lembaga Disiplin akan dilakukan sekiranya beliau tidak membuat permohonan maaf itu. Perbuatan fitnah ini merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh kita terima. Pihak Lembaga Disiplin mesti mengambil tindakan terhadapnya dan kita sedia kemukakan bukti,” katanya.
Tegas Tajuddin, beliau tidak melakukan perbuatan seperti yang didakwa itu malah berusaha membantu parti sepanjang tempoh berkempen bagi memenangkan calon BN.
“Ramai menyaksikan apa yang saya lakukan sepanjang 14 hari dengan pergi ke pelosok kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Saya telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi melancarkan jentera pilihan raya ketika itu. Apabila kalah, dia salahkan saya cakap tidak sokong. Ini satu fitnah,” katanya.
Berhubung rayuan penggantungan keahlian UMNO, Tajuddin berkata, pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk isterinya, Datin Seri Rohkiah Abd Samat bertemu dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya sudah buat rayuan bertulis tiga kali, tidak bertulis banyak kali, sudah bersalam cium tangan, penyokong saya telah bertemu (Presiden) malah, Wanita UMNO juga membuat usul. Saya menjalankan kerja dengan baik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO. Saya sudah 50 tahun dalam UMNO takkan hendak tinggalkan UMNO. Banyak jasa UMNO kepada saya,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.
Dalam kenyataan itu juga, Khairul Azwan turut mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima oleh MKT UMNO.
Tajuddin pada 9 Jun lalu mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi.
Bagaimanapun dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang dipecat mahupun digantung.
Leave a Reply