Oleh RIZQI ZABIDI
SULTAN Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis, diberi layanan dan perhatian yang adil serta sewajarnya oleh pihak-pihak terlibat agar ia dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara dan rakyat.
Baginda bertitah, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan sehingga membelakangkan keperluan negeri serta negara yang jauh lebih mustahak.
Baginda berpendapat, hasrat itu akan dapat disegerakan sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerjasama dengan pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.
“Bagi terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kini sedang bertumbuh pesat, Beta percaya terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri.
“Hal ini adalah kerana apabila pengeluaran dalam negeri dan wilayah bertambah, kapasiti semasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri pasti tidak akan mencukupi.
“Oleh yang demikian, adalah amat mustahak bagi Kedah untuk memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan ekport keluar negeri.
“Perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak tersebut dan bertindak sebagai ‘game changer’ yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berucap bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Sementara itu baginda turut memperkenankan kewujudan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat golongan miskin.
Titah baginda, TASK juga akan berperanan dalam mengimbangi pengagihan ekonomi yang lebih adil dan saksama serta menjadi wadah untuk semua pihak berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan memerlukan.
“Sesungguhnya sedekah ini bukan sekadar membantu keluarga dengan memberi pakaian, makanan dan minuman, malah diharapkan ianya dapat memberi peluang yang lebih cerah kepada anak-anak keluarga tersebut untuk maju dalam pendidikan.”
“Hanya dengan penyediaan pendidikan yang sempurna kepada anakanak keluarga ini, ianya dapat membantu mereka untuk berjaya dalam bidang pendidikan, seterusnya menoktahkan kitaran kemiskinan yang membelenggu mereka selama ini.”
Baginda menambah, pembentukan TASK adalah sebahagian usaha bagi mengatasi isu purata pendapatan isi rumah bagi penduduk yang masih berada pada tahap rendah.
“Penduduk di daerah Baling, Pendang, Padang Terap dan Yan masih berada pada tahap rendah dan belum mencecah purata melebihi RM 4,800. Sebagai perbandingan purata pendapatan isi rumah bagi Negeri Kedah adalah berjumlah RM 5,522. Manakala, nasional pula jauh lebih tinggi pada purata RM 7,901.”
“Beta merasakan bahawa semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu dalam memperbaiki situasi ini.” titah baginda.
Leave a Reply