sultan kedah

Hakikat P Pinang dipajak perlu diperjelas tanpa prejudis – Sultan Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

SULTAN Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan, amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat di negeri ini cuba didiamkan khususnya berhubung sejarah dan kedaulatan negeri Kedah.

Baginda bertitah, pembentukan Malaysia tidak seharusnya menjadi titik bagi membenarkan sejarah sesebuah negeri yang wujud sejak sekian lama terpadam.

Tegas baginda lagi, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanya dipajak daripada Kedah perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta tanpa prejudis.

“Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai sejarah Negeri Kedah mulai subur di pelbagai platform. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah negeri ini khususnya berhubung kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada hemat Beta perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Negeri Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.

“Hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berucap bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Baginda menambah, perbincangan mengenai perkara itu harus disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.

“Hal ini adalah kerena sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara,” titah baginda.

Baginda bertitah, peristiwa lampau yang meletakkan negeri dalam keadaan sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah, harus dijadikan pedoman serta peringatan agar kita lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

Titah baginda, perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan
perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu.

“Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan. Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19, harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini.

“Beta berharap sejarah negeri akan terus dihayati oleh semua pihak kerana ianya cukup bernilai tinggi. Sejarah tidak boleh dibeli melainkan ditempa dengan darah dan air mata,” titah baginda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *