Teka teki Khairy sertai PN terjawab minggu depan-Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan `rombongan’ Khairy Jamaluddin akan berjumpa dengan beliau pada minggu depan.

Jelasnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tujuannya bagi memberi jawapan keputusan bekas Ketua Pemuda UMNO itu untuk menyertai PN atau sebaliknya.

“Saya sudah tetapkan tarikh dan delegasi (rombongan) Khairy akan jumpa saya minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini.

Muhyiddin mengulas sama ada Khairy sudah memutuskan untuk menyertai PN terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.

Tawaran itu dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada UMNO mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini memaklumkan, Khairy masih belum memuktamadkan keputusannya untuk bersama PN.

Kemungkinan Khairy menyertai PN itu juga bagaimanapun kembali menjadi tanda-tanya apabila bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ahli ekonomi dan pakar industri semalam bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan peranan Khairy dalam perjumpaan bersama Anwar tersebut yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap Khairy akan membuat keputusan menyertai PN, namun menyerahkan keputusan tersebut sepenuhnya kepada Khairy.

“Kita yakin dia cukup bijak dan cerdik untuk membuat keputusan,” ujar bekas Perdana Menteri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *