PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari ini menyeru agar gabungan itu merampas Selangor dengan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun itu dianggap suatu usaha yang mustahil oleh sesetengah pihak, ia akan tetap dilakukan.
Beliau mengakui usaha menawan Selangor yang digambarkannya sebagai benteng pertahanan terakhir PH dan BN, bukan mudah tetapi PN tidak menganggapnya sebagai misi mustahil.
“Selangor merupakan benteng kebanggaan, pertahanan terakhir mereka. Kita robohkan benteng ini untuk menuju ke Shah Alam,” katanya merujuk kepada pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Ahmad Fadhli berkata demikian ketika berucap Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN di I-City Convention Centre (ICCC) di Shah Alam hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, yakin PN akan menang dengan bergaya di Kedah, Terengganu dan Kelantan, mempertahankan kerajaan negeri bawah pentadbirannya.
Beliau turut menyeru ahli Pemuda PN agar bekerja keras untuk memastikan kemenangan PN pada PRN akan datang.
“Dua minggu dari sekarang, akan masuk zon perang … anak muda (PN) jangan tidur malam. Kerja untuk kemenangan PN,” katanya, lapor FMT.
Leave a Reply