Pemandu dan kelindan maut, lori alami masalah brek

SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang di Jelebu, pukul 5.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, nahas itu membabitkan sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki tempatan berusia 50-an bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.

“Sebaik sampai jalan menurun di Bukit Tangga pemandu berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di tepi bukit.

“Akibat kemalangan tersebut pemandu dan seorang kelindannya berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, seorang lagi kelindan terselamat telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

Katanya, bedah siasat terhadap dua mangsa maut akan dijalankan pada hari ini (Sabtu) di Hospital Jelebu.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu SM Baharuddin Jamil di talian 010- 7706864,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *