Orang lama DAP sukar terima UMNO sekutu baharu

ORANG lama dalam DAP masih sukar menerima pakatan baharu parti itu dengan UMNO, kata ahli akar umbi.

Ahli DAP Bangi, S. Thamarai Chelvi berkata, sebilangan rakannya yang lebih berpengalaman menghadapi kesulitan untuk menerima susunan politik semasa parti dan mungkin sukar untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Walaupun berada dalam kerajaan perpaduan, kami masih rasa adalah mencabar untuk bekerjasama dengan UMNO,” katanya memetik laporan FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata, ahli muda lebih terbuka kepada realiti politik baharu.

Seorang lagi iaitu Ahli DAP Klang, Lee Fu Haw, mengakui sukar bagi ahli akar umbi bekerjasama dengan UMNO kerana persengketaan antara kedua-dua parti dalam beberapa dekad.

Katanya, bagaimanapun ahli akar umbi sedia berusaha memperbaiki hubungan dengan UMNO.

“Jika terus bersengketa, apa sebenarnya yang kami dapat,” soal Lee.

Katanya, kedua-dua parti akan mendapat manfaat terbaik jika semua menerima DAP dan UMNO kini menjadi sekutu.

Hubungan antara kedua-dua parti itu menjadi tumpuan baru-baru ini apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, menuntut DAP memohon maaf atas tuduhan lampau terhadap partinya, menyatakan perkara itu penting menjelang enam PRN akan datang.

Namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, berkata isu itu tidak perlu dipanjangkan.

Ahli DAP Sepang, Azfar Faruqi berkata, ahli DAP dan UMNO di kawasannya sentiasa boleh bekerjasama.

“(Bagi) Kebanyakan kami, jiran kami adalah orang UMNO, jadi kami tidak pernah menghadapi masalah untuk bergaul dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat ‘pertembungan’ kecil antara ahli parti saingan, tidak pernah ada permusuhan antara ahli akar umbi, berbeza dengan ‘ketegangan’ yang selalu dipamerkan antara pemimpin tertinggi DAP dan UMNO.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, akar umbi kedua-dua parti harus mengambil pendekatan pragmatik.

“Akar umbi (DAP) secara umumnya agak pragmatik. Mereka melihat kerajaan perpaduan pilihan lebih baik berbanding Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *