PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan gabungan itu berdepan tentangan sengit menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN mampu menang hampir 20 kerusi.
Pada masa sama beliau menyeru ahli gabungan terbabit bekerja lebih keras untuk menang satu lagi kerusi bagi membentuk majoriti mudah yang melibatkan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) keseluruhannya.
“Sekarang dah hampir dekat 20 (kerusi) agak ya agak-agak lah kalau kita nak menang hanya perlu 51 peratus.
“Tinggal satu peratus cari, tak kan tak boleh,” katanya ketika mengadakan pertemuan pada Konvensyen PN Pulau Pinang, lapor FMT.
Muhyiddin berkata, walaupun kemenangan di peringkat negeri tidak mengubah apa-apa di peringkat Pusat, namu impak daripada kemenangan di PRN enam negeri akan bergema di seluruh negara.
“Kesan dan impak besar daripada kemenangan besar di enam buah negeri akan mempermudah kita mengambil alih kerajaan pusat dalam satu tempoh yang akan datang insya-Allah,” katanya.
Awal hari ini, Ketua Pemuda PN negeri, Zuzalee Ariffin mendedahkan berdasarkan kajian gabungan itu, 55 peratus orang Melayu Pulau Pinang menyokong PN, manakala 28 peratus menyokong Barisan Nasional (BN), dan 15 peratus bersama Pakatan Harapan.
Katanya, 93 peratus masyarakat Cina di Pulau Pinang menyokong PH, dengan 1 peratus menyokong PN, dan 5 peratus menyokong BN.
Masyarakat India juga sebahagian besar bersama PH dengan 84 peratus, dengan 12 peratus komuniti itu bersama BN, dan 4 peratus menyokong PN.
“Kita hanya memerlukan sedikit peralihan daripada pengundi Cina dan India untuk menang. Hakikatnya, untuk menang di Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras untuk menawan undi Cina,” katanya.
Zuzalee juga mendakwa slogan pilihan raya PN negeri, ‘Pulau Pinang try kalih’, merekodkan tahap sokongan tinggi di TikTok, dengan perkongsian tanda pagar sebanyak 11 juta.
PH menang 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018, dengan BN menang dua dan Pas satu. Susulan penjajaran politik pada 2020, kedudukan kerusi PH berkurang kepada 33, memandangkan Bersatu meninggalkan PH, yang mana dua wakil rakyat PH menyertai Bersatu.
Pada PRU14, Bersatu menang di Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh, dan Teluk Bahang, di bawah PH. Bagaimanapun, semua kerusi itu diisytihar kosong susulan penguatkuasaan undang-undang anti-lompat.
Justeru, menjadikan PN hanya mempunyai satu kerusi milik PAS, di Penaga.
Sebelum ini, sumber dalaman PN memberitahu FMT, 15 kerusi majoriti Melayu berkemungkinan dikuasai PN, selaras sokongan pengundi muda terhadap gabungan itu.
Leave a Reply