Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA wanita maut selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan semasa berkonvoi terbabas dan merempuh treler di laluan bertentangan di Jalan Gunung Pulai, Kulai kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Kemalangan tersebut membabitkan tiga kenderaan iaitu treler Volvo dan motosikal Y15ZR serta Y16ZR yang ditunggang Suria Othman, 36 tahun dan seorang lagi wanita berusia 38 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan mendapati kedua-dua motosikal hilang kawalan di selekoh Jalan Gunung Pulai dan terbabas sebelum merempuh sebuah treler di laluan bertentangan.
“Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan permukaan jalan licin. Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 38 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan di Kulai.
Katanya, pemandu treler berusia 39 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Firdaus Juritah berkata, enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Seorang penunggang motosikal wanita berusia 36 tahun tersepit bawah lori dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi selesai pada pukul 12.38 tengah hari,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video berdurasi 31 saat memaparkan dua motosikal terbabit terbabas ketika melalui selekoh jalan dalam cuaca hujan.
Leave a Reply