Serangan UMNO tak jadi ‘kudis gatal’ buat PN Terengganu

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

REGU terbaharu pembangkang Terengganu, gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dikatakan semakin panik dengan kebangkitan  ‘Gelombang PN’ di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam suasana politik tidak menentu ini para pemimpin parti terbabit dilihat berasa amat bimbang sekiranya para pengundi tidak akan berpihak kepada calon-calon yang bakal ditampilkan.

Justeru, berdasarkan perkembangan itulah pihak pembangkang khususnya UMNO terpaksa mencari jalan dengan menyerang ‘seterunya’ iaitu Pas dan Perikatan Nasional (PN)  dengan ‘menabur peluru secara rambang’.

Antaranya termasuklah membangkitkan pelbagai isu yang didakwa melibatkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pas di negeri ini. Ia termasuklah dakwaan mengenai isu  penjualan tanah yang dikatakan dijual kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah mencabar  Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar supaya berdebat secara terbuka dengannya berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri enggan menyahut cabaran berkenaan dengan mengambil pendekatan berdiam diri serta tidak menjawab setiap isu dibangkitkan oleh UMNO terutama melibatkan pemilikan tanah strategik di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

Ketika bercakap kepada media di Kuala Terengganu pada Selasa lalu,  Ahmad Samsuri bukan sahaja tidak melayang cabaran tersebut, sebaliknya  menyifatkan ia sebagai senjata dan serangan UMNO menjelang PRN.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata,  buat masa ini pihaknya belum bercadang untuk menyerang balas.

Ini kerana ujarnya, Pas Terengganu hanya menunggu masa yang sesuai  untuk kembali melontarkan peluru ekoran serangan secara bertali arus dilakukan UMNO menjelang PRN kali ini.

Menurutnya, buat masa ini semua strategi telah diatur dan akan menunggu masa sesuai sahaja untuk beraksi dalam peperangan sebenar sekali gus memastikan kemenangan bergaya Pas dan PN di Terengganu nanti.

Katanya,  ketika nak berperang lah, baru dikeluarkan peluru mengenai pelbagai salah laku dalam  pentadbiran UMNO, buat ketika ini banyak lagi disimpan dalam poket, semua peluru  itu akan dikeluarkan  ketika kempen PRN.

Dalam PRU 14 pada 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 kerusi manakala UMNO-BN hanya menang 10 kerusi. Perkembangan itu sekaligus menyaksikan Pas kembali menjadi kerajaan semula selepas 14 tahun.

Kali terakhir Pas memerintah Terengganu ialah ketika PRU 10 pada tahun 1999 di mana  Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar. Namun kerajaan Pas ketika itu hanya bertahan selama sepenggal sahaja apabila tewas  semula  kepada UMNO-BN pada tahun 2004.

Apa pun, banyak pihak berpendapat dalam PRN kali ini Pas bersama PN yang dinaungi bersama parti Bersatu dan Gerakan dijangka terus kekal memerintah Terengganu. Walaupun ketika ini serangan bertali arus dihadapi kerajaan Terengganu dilakukan oleh PH dan BN diketuai Ahmad Said.

Namun, banyak pihak berpendapat isu-isu dimainkan dikatakan tidak akan memberi kesan besar dan tidak menjadi ‘kudis gatal’ buat PN bagi menghadapi PRN nanti. Ini kerana rakyat sudah tahu siapa penyerangnya di samping semakin muak dengan politik yang dimainkan pembangkang sekarang ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *